Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan watikah gelaran Seniman Diraja kepada kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 5 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Datuk Lat dikurnia watikah gelaran Seniman Diraja, terus promosi budaya Malaysia

KUALA KANGSAR, 5 NOV: Seniman Diraja Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat akan terus membantu mempromosikan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum negara ini terutama di negeri kelahirannya, Perak melalui karya yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat, Batu Gajah.

Lat yang ditemui selepas dikurniakan Watikah Gelaran Seniman Diraja di Istana Iskandariah di sini hari ini berkata beliau berbangga dapat meneruskan idea membuka galeri berkenaan demi mempamerkan karyanya yang memaparkan kemajmukan masyarakat Malaysia.

“Perak salah satu tempat yang kita boleh cuba jadikan tarikan pengunjung. Jadi saya mempamerkan lukisan komik saya (di Galeri Rumah Lat) saya syukur kerana sambutan sangat baik. Jadi memang itu saya bangga dapat berbakti untuk Perak sebab saya berasal dari sini, juga sebenarnya berbakti untuk negara,” katanya.

Terdahulu Sultan Perak Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Watikah Gelaran Seniman Diraja pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 hari ini.

Pada 8 Julai lalu, ketika berangkat merasmikan Galeri Rumah Lat, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Lat gelaran Seniman Diraja bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar oleh seniman agung itu dalam memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Kartunis tersohor negara Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat menunjukkan Watikah Gelaran Seniman Diraja yang dianugerahkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 5 November 2023. Foto BERNAMA

Sementara itu Lat berkata kurniaan gelaran Seniman Diraja itu adalah simbol rapatnya hubungan istana dengan kegiatan kesenian rakyat negara ini sekali gus menghargai insan seni sepertinya.

“Bukan hanya melalui komik, semua cabang seni seperti muzik, filem dan lakonan pentas juga banyak yang memaparkan kepelbagaian budaya, jadi semua ini juga mendapat penghargaan istana, kita amat hargai,” katanya.

Dalam pada itu Lat mengajak pengunjung ke Galeri Rumah Lat dan setakat ini masuk masih percuma.

Katanya kemasukan ke galeri itu masih belum dikenakan bayaran kemungkinan sehingga hujung tahun ini.

“Saya ingat sampai hujung tahun masih percuma, jika dikenakan pun saya percaya ia (tiket) tidaklah mahal,” katanya.

Galeri Rumah Lat di Silverlake Batu Gajah dibuka secara rasmi pada 8 Julai 2022.

– BERNAMA


Pengarang :