Mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Komuniti Taman Gemilang, Sepang pada 6 November 2023. Foto Ihsan APM Selangor
AGENSISELANGOR

569 mangsa banjir ditempatkan di lapan PPS takat 4 petang

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 569 mangsa banjir ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor setakat 4 petang tadi.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor menerusi kenyataan berkata jumlah itu mencatat penurunan 34 mangsa daripada 603 yang direkod 8 pagi tadi.

Menurut sekretariat agensi itu, PPS yang menempatkan 150 keluarga membabitkan empat di Sepang, dua di Hulu Langat manakala satu masing- masing di Hulu Selangor dan Gombak.

Jelas agensi itu, mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil iaitu 221 orang, selain itu Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (49); Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali (101) dan Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir (89).

Bagi daerah Gombak, PPS dibuka di Dewan Seroja Kampung Bendahara; di Hulu Selangor pula di Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yam Bharu manakala dua lagi di Hulu Langat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini meramal Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya alami ribut petir serta hujan lebat hingga 6 petang ini.

MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan amaran sama turut dikeluarkan di seluruh Melaka dan Johor manakala beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.


Pengarang :