BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Marabahaya Maoisme, 20 juta rakyat maut

Bermula daripada pertengahan tahun 1958 sehinggalah pertengahan tahun 1959, China dibelenggu dengan suasana serba tegang dan meluap-luap ini.

Dua tahun selepas daripada itu, China diselubungi pula dengan penipuan dan dilanda kebuluran dan kematian beramai-ramai.

Maoisme yang semakin parah merupakan akar kepada permasalahan ini; penasihat-penasihat kaki bodek dan bacul bersekongkol dalam hal ini.

Mao terlalu yakin dengan kemampuan gerakan massa yang revolusioner dalam mengatasi sebarang halangan, tidak kiralah dalam hal meningkatkan pengeluaran bijirin atau besi mahupun dalam perkara seperti memerangi musuh yang jauh lebih kuat.

Di China pada penghujung tahun 1950-an, komun telah dibina menerusi gabungan beberapa kolektif. Sebagai suatu unit yang lebih besar, mereka telah membina bangsal bagi pengeluaran tanaman dan bijirin.

Tidak rasional

Selain daripada itu, selaku industri kecil dan sederhana mereka juga menyediakan barang keperluan bagi kegunaan penduduk setempat.

Kawasan luar bandar tidak lagi perlu bergantung kepada industri bandar bagi mendapatkan barangan keperluan mereka; barangan keperluan harian yang tidak mempunyai bekalan tinggi seperti berus gigi, baldi, benang pintal dan tali sudahpun dikeluarkan oleh masyarakat setempat.

Ia menyaksikan bagaimana semangat berdikari melonjak kepada semangat mampu diri yang begitu membanggakan.

Gabungan semangat dan keterujaan luar biasa, selain usaha-usaha tidak rasional dan keengganan Mao mendengar kritikan terhadap dirinya, dasar dan teorinya akhirnya membawa China ke lembah tragis pada tahun 1959.

Pihak berkuasa wilayah dan juga tempatan yang bersungguh-sungguh ingin dilihat sebagai berada di pihak yang benar telah membesar-besarkan maklumat statistik bagi menggambarkan bahawa keuntungan besar telah dicapai dalam pengeluaran besi dan juga bijirin.

Berdasarkan angka-angka palsu ini, mereka masih tidak sedar akan keadaan sebenar di mana tanaman-tanaman dibiar rosak di ladang akibat daripada kekurangan tenaga buruh untuk menuainya.

Kaum wanita dan juga kanak-kanak yang membanting tulang enam belas jam sehari tidak mampu untuk menuai hasil tanaman terbesar dalam sejarah negara China itu.

Jelas sekali bahawa besi yang dihasilkan di relau kecil-kecilan atau “belakang rumah” tidak berguna sama sekali, namun tiada siapa memiliki keberanian untuk memerintahkan supaya kegiatan ini dihentikan serta-merta.

Sementara itu, tindakan terburu-buru Mao dengan berjanji bahawa pengeluaran besi negara China bakal mengatasi pengeluaran England dalam tempoh lima belas tahun dan kemudiannya mengatasi Amerika dalam tempoh tiga puluh tahun telah mengakibatkan beberapa perkembangan yang aneh.

Pada satu tahap yang sedikit remeh, kebanyakan kanak-kanak China yang lahir pada tahun 1958 dan 1959 telah dinamakan “Chaoying” (“Mengatasi England”) atau “Chaomei” (“Mengatasi Amerika”).

Pembaziran tenaga

Apabila Kemaraan Raksasa ditolak keras bertahun-tahun selepas itu, sebilangan daripada demografi ini berasa terpanggil untuk mengubah nama mereka yang kini dilihat memalukan.

Pada tahap yang lebih serius pula, pembinaan relau peleburan besi juga telah digalakkan kepada setiap keluarga dan juga wilayah agar dapat menyumbang kepada sasaran pengeluaran besi.

Hal ini merupakan suatu pembaziran masa, tenaga dan juga sumber. Bekalan minyak yang sedia tidak cukup akhirnya digunakan untuk membakar relau; peralatan rumah dileburkan bagi mendapatkan bijih besi yang tidak seberapa dan tenaga buruh yang sewajarnya digunakan bagi menuai hasil tanaman yang banyak telah dirampas oleh rancangan ini.

Apatah lagi, jongkong- jongkong besi yang dihasilkan oleh relau-relau ini sebenarnya tidak berguna sama sekali.

Kebuluran semakin menghampiri penduduk di ladang. Bahkan di kawasan yang dianggap istimewa seperti Zhongnanhai, kekurangan daging dan sayur-sayuran mulai dirasai.

Pihak ketenteraan, golongan yang sering mendapat bekalan makanan terbaik selain pimpinan Parti juga akhirnya terpaksa mengikat perut dan menggantikan beras dengan bijirin kasar.

Penduduk di bandar juga sukar untuk mendapatkan bekalan makanan dan terpaksa melaksanakan catuan makanan bagi memastikan keperluan asas setiap keluarga terjaga.

Kerapkali, bekalan makanan tidak mencukupi sehinggakan bayi-bayi generasi Kemaraan Raksasa ini selalunya terbantut secara jasmani disebabkan kekurangan zat.

Mati kebuluran

Kawasan luar bandar paling teruk terjejas dan sebarang bijirin yang ada akan dituntut bagi diagihkan untuk kegunaan bandar.

Hal ini mengakibatkan mereka terkapai-kapai tanpa bantuan dan bergantung sepenuhnya pada diri mereka sendiri.

Akhirnya, mereka mati kebuluran. Pemimpin tempatan terlalu takut untuk memberitahu pihak berkuasa pusat tentang kedahsyatan penderitaan yang sebenar. Lagi pula, mereka telah melaporkan hasil tanaman yang banyak.

Sebahagian yang cuba untuk menyatakan kebenaran akan dituduh sebagai memiliki pemikiran “borjuis” atau pemikiran haluan kanan. Ramai yang menikus dan hanya mampu berdoa agar mereka terselamat daripada ancaman kebuluran dan politik. Akibatnya, semakin ramai terkorban.

Peristiwa kebuluran pada tahun 1959-61 begitu dahsyat sekali. Statistik yang boleh dipercayai susah untuk ditemui. Begitupun, kebanyakan daripada mereka mengandaikan bahawa angka kematian pada ketika itu mencecah lima belas sehingga dua puluh juta orang.

Sebahagian besar daripada mereka ialah golongan masyarakat tani terutamanya dalam kalangan orang tua, muda dan wanita yang lebih mudah terdedah kepada sebarang marabahaya.

Penduduk-penduduk bandar tidak menyaksikan dengan mata kepala mereka bagaimana mayat bergelimpangan di kawasan luar bandar. Pelarian dari kawasan luar bandar telah disekat daripada memasuki kawasan bandar.

Hal ini tidak dilaporkan di mana- manapun. Pelarian yang berjaya melarikan diri ke Hong Kong telah menyedarkan pihak pemerhati China Barat tentang situasi tersebut.

Sungguhpun begitu, mereka hanya mampu melaporkan hal yang berlaku di kawasan setempat mereka dan tidak mempunyai maklumat sebenar tentang skala malapetaka yang melanda China pada ketika itu.

Hanya pada tahun 1980-an, selepas beberapa pengenduran rasmi perihal pengharaman menilai semula zaman Mao, barulah kadar kedahsyatan peristiwa kebuluran tersebut diketahui oleh dunia dan rakyat China.

 

Petikan muka surat 136-144 buku Mao Zedong: China dalam dunia Abad ke-20, terjemahan Mao Zedong and China in the Twentieth-Century World tulisan Rebecca E. Karl. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau di toko Rencana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.


Pengarang :