Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) melawat tapak jualan pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland, Jalan Pantai Redang, Bagan Sekinchan pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan Agro Madani raih RM60 juta, manfaat lebih tujuh juta isi rumah

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Penganjuran Jualan Agro Madani berjaya mengumpul nilai jualan lebih RM60 juta dengan memanfaatkan lebih tujuh juta isi rumah di seluruh negara setakat 29 Oktober.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dijalankan melalui jabatan dan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu turut berjaya mencatat penyertaan 54,300 usahawan, yang melebihi dari jumlah sasarannya iaitu 46,000 sepanjang tahun ini.

“Jualan Agro Madani dilihat sebagai salah satu program “quick win” KPKM dalam membantu para pengeluar memasarkan produk secara terus kepada pengguna dan secara langsung dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan KPKM turut berhasil mencapai 71 peratus penganjuran program setakat 29 Okt ini dengan 3,569 lokasi penganjuran di seluruh negara merangkumi 401 kompleks kerajaan, 926 kawasan perumahan berkepadatan tinggi dan 2,242 outlet peruncitan FAMA.

Orang ramai membeli barangan promosi Kombo Madani yang dijual secara pakej pada Majlis Pelancaran Jualan Khas Aidiladha Madani peringkat Kebangsaan di tapak pasar tani Stadium Shah Alam pada 25 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Antara yang menjadi tarikan istimewa Jualan Agro Madani adalah seperti jualan barangan pertanian segar terpilih seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, telur, ikan, gula, minyak dan lain-lain selain promosi Kombo Madani .

“Di Jualan Agro Madani terdapat juga jualan Happy Hour; Perkhidmatan Kaunter Khidmat Pelanggan; Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Bimbingan Usahawan serta Ikon-ikon pertanian,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPKM turut memaklumkan pihaknya sentiasa memberi fokus mengenai isu dan cabaran keterjaminan makanan, kecukupan bekalan dan kenaikan kos sara hidup.

“Justeru bagi menangani isu ini, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh KPKM antaranya khidmat pemasaran segar agromakanan meliputi aktiviti belian hasil pertanian daripada petani (buy back program) dikenali sebagai Program i-BELA dan yang terkini program Jualan Agro Madani bagi menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

KPKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan makanan bagi keperluan rakyat sentiasa mencukupi dan terjamin antaranya melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

“Pelbagai inisiatif dan program telah dan sedang dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dan pada masa yang sama menjamin keselamatan makanan negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPKM dalam kenyataan berasingan memaklumkan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 akan disambut pada 10 hingga 12 Nov ini (Jumaat hingga Ahad) di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan merasmikan sambutan HPPNK yang bertemakan “Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan” pada 11 Nov, pukul 1.30 tengah hari.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelbagai daya tarikan keterjaminan makanan akan memeriahkan HPPNK 2023 menerusi penganjuran Jualan Agro Madani Mega dengan 333 Aneka Menu Makanan Malaysia Madani dan Makanan Popular Negeri serta Makanan Viral serta showcase kepentingan teknologi dan inovasi dalam industri agromakanan negara yang antaranya Mekanisasi; Tanaman; Ternakan; Perikanan dan lain-lain.

KPKM memaklumkan 350,000 pengunjung disasar hadir pada sambutan HPPNK 2023, selain mengharapkan ia dapat menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian dan memberikan semangat baharu kepada golongan peladang, penternak dan nelayan.

“Menerusi penganjuran HPPNK 2023 diharap ia akan membantu merancakkan semula ekonomi negara dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian serta industri agromakanan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :