Seramai 164 warga asing dan tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga pusat peranginan berasingan pada 12 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

518 mangsa sindiket tipu kerja diselamatkan, rakyat dinasihat lebih waspada

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 518 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan atau job scam di luar negara diselamatkan sehingga 3 November lalu.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata Kementerian Luar Negeri (KLN) juga ketika ini sedang berusaha mengenal pasti 26 warganegara Malaysia di Laukkaing, Myanmar yang menjadi mangsa sindiket penipuan.

“KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dengan kerjasama Thailand, Vietnam, Filipina dan China sedang menyelaras dan menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang 26 mangsa itu dengan selamat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang ingin tahu langkah diambil kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengelak penipuan pekerjaan terutama di Kemboja dan Myanmar di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad turut mengingatkan rakyat Malaysia lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan tawaran kerja di luar negara bagi mengelak menjadi mangsa.

“Ia terutamanya bagi peluang pekerjaan yang diiklan di media sosial dengan tawaran menarik seperti gaji dan elaun tinggi, tiket kapal terbang percuma, makan percuma serta penginapan percuma.

“Tawaran mereka memang menarik jadi berwaspada dan saya mohon periksa terlebih dulu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menubuhkan jawatankuasa khas diterajui KLN bagi menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan dengan melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk PDRM dan Jabatan Peguam Negara.

“Selain langkah pencegahan, hebahan jalinan usahasama antara Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara bersama pihak berkuasa tempatan turut dilaksanakan.

“Ia untuk mengesan, menyelamat dan memberikan bantuan konsular kepada mangsa seperti memudahcara proses dokumentasi dan pengeluaran Sijil Perakuan Cemas agar membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.


Pengarang :