Kumpulan Wings bergambar selepas sidang media pengumuman Konsert Wings The Rock Emperor -Kuala Lumpur Chapter di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2023. Foto Facebook Sayap-Sayap Wings
AGENDANASIONAL

Wings tawar tiket harga Rahmah, diskaun sempena konsert 16 Disember

SHAH ALAM, 8 NOV: Kumpulan rock legenda Wings mengumumkan tiket harga Rahmah serendah RM95 sempena penganjuran konsert di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 Disember.

Vokalisnya Datuk Awie berkata diskaun 10 peratus turut ditawarkan bagi penonton tujuh tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya dan pelajar bagi kategori Rockzone, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan harga itu diperkenal bagi membolehkan segenap lapisan masyarakat dan peringkat usia menikmati Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter.

“Kami mahu konsert ini dinikmati golongan muda memandangkan ia bakal berlangsung hujung tahun.

“Bagi kami, harganya sangat berpatutan supaya ibu bapa yang berhasrat membawa anak tidak rasa terbeban. Kami turut memberikan diskaun tambahan 10 peratus,” katanya seperti dilaporkan.

Konsert anjuran Rumah Produksi Merah menyasar 7,000 tiket dijual. Setakat ini, lebih 50 peratus tiket terjual untuk menyaksikan persembahan kumpulan legenda itu.

Dalam pada itu, Awie berkata kumpulan berkenaan memilih lagu yang mendapat permintaan tinggi peminat selain seleksi daripada album terbaharu yang belum dilancarkan.


Pengarang :