Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad menyampaikan sumbangan hamper Deepavali dan wang tunai RM100 kepada penerima pada program Sumbangan Prihatin Deepavali di Taman Sri Muda pada 8 November 2023. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA sumbang hamper Deepavali, RM100 kepada individu kurang mampu

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAHALAM, 8 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyampaikan sumbangan prihatin kepada 50 individu kurang berkemampuan di 24 zon di bawah pentadbirannya sempena sambutan Deepavali Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komunitinya berkata bantuan berbentuk hamper raya dan wang tunai RM100 menyasar golongan berpendapatan rendah (B40), orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

“Dengan kerjasama ahli majlis zon masing-masing, kami mengenal pasti penerima untuk sama-sama memberi bantuan persediaan perayaan mereka.

“MBSA juga mengenal pasti senarai nama penerima daripada e-Kasih untuk menerima sumbangan prihatin ini,” kata Shahrin Ahmad ketika menyampaikan sumbangan tersebut di Taman Sri Muda di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 9 N Ramu berkata hampir 80 peratus penganut Hindu tinggal di sekitar perumahan tersebut dan ada dalam kalangan mereka layak menerima bantuan.

“Penerima sumbangan yang dipilih adalah mereka yang sebelum ini ada memohon bantuan di pejabat saya dan kita melihat situasi dihadapi antaranya ada ibu tunggal, B40 dan OKU.

“Dengan sumbangan yang diberikan MBSA ini, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban dan menceriakan keluarga dalam persiapan menyambut Deepavali kali ini,” katanya.


Pengarang :