Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau sekitar pasar raya Segi Fresh selepas melancarkan Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan Ehsan Rahmah berlangsung di lima cawangan Segi Fresh pada Sabtu

SHAH ALAM, 9 NOV: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan pelbagai barangan asas pada harga murah diadakan di lima cawangan Pasaraya Segi Fresh pada Sabtu ini.

Pasar raya itu memaklumkan program dari 8 pagi hingga 8.30 malam berlangsung di cawangan Teluk Panglima Garang (Kuala Langat), Sungai Udang (Klang) dan Bandar Tasik Puteri (Rawang).

Jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu turut diadakan di cawangan Kuala Kubu Bharu (Hulu Selangor) serta Setia Mayuri (Kajang).

“Jualan ini meringankan beban komuniti setempat terutama golongan berpendapatan rendah selain memberi akses kepada produk berkualiti dan barangan basah yang segar,” kata Segi Fresh di Facebook.

Sepanjang program, antara barangan asas dijual pada harga murah ialah ayam (RM6.49/kg), daging (RM10/pek), minyak masak (RM25/5 kg), telur (RM10/sepapan), ikan siakap (RM7/seekor) dan tepung gandum (RM2/pek).

Sejak diperkenal tahun lalu, Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta bagi melaksanakan JER di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :