Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB lawat mangsa banjir di dua PPS, tinjau persimpangan Kiwa

SEPANG, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini meluangkan masa melawat mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah ini.

Beliau yang tiba jam 10 pagi bertemu mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil sebelum ke PPS Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali, yang dibuka sejak Ahad.

Beliau kemudian meninjau laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang sebelum ini ditutup akibat banjir kilat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa meninjau mangsa terjejas banjir di pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut serta dalam tinjauan itu EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi, EXCO Perumahan Borhan Aman Shah dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek Lwi Kian Keong.

Setakat 7.30 pagi tadi, seramai 740 mangsa banjir daripada 186 keluarga berlindung di 11 PPS, menurun berbanding 779 individu meliputi 196 keluarga semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, lima PPS dibuka di Sepang, Kuala Langat (tiga), Hulu Langat (dua) dan Petaling (satu) susulan hujan berterusan pada Ahad.

Seramai 194 mangsa daripada 58 keluarga berada di PPS SMK Dengkil, manakala PPS Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali pula menempatkan 74 mangsa daripada 17 keluarga.


Pengarang :