SEPANG, 9 NOV: Bantuan kewangan RM500 kepada mangsa banjir kilat di beberapa daerah negeri ini akan segera disalurkan sebaik mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan ketika ini untuk memastikan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan selamat.
“Itu (bantuan kewangan) akan dibuat dalam masa terdekat. Saya ingat selepas mereka pulang. Sekarang kita mahu pastikan mereka dapat berlindung dahulu.
“Beberapa tempat sudah mula surut (banjir). Insya-Allah boleh diagih segera (apabila mereka pulang),” katanya selepas meninjau laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P_MBBanjirKIWA-3-500x333.jpg.webp)
Sebelum ini, laluan dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu ditutup susulan banjir kilat pada Ahad.
Terdahulu, Amirudin bersama EXCO negeri melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali.
Pada 6 November, Dato’ Menteri Besar memaklumkan keluarga yang terjejas banjir di Selangor akan menerima bantuan kewangan RM500 bagi meringankan beban mereka.
Hujan lebat pada Ahad mengakibatkan beberapa daerah negeri ini dilanda banjir. Susulan itu, 11 PPS dibuka bagi menempatkan 740 mangsa daripada 186 keluarga setakat pagi tadi.