Anggota sukarelawan Team Selangor membantu membersihkan kediaman penduduk terjejas banjir di Bangi Lama dan Dengkil. Foto Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Team Selangor gerakkan 55 sukarelawan bantu bersih rumah mangsa bah

SHAH ALAM, 9 NOV: Team Selangor menggerakkan seramai 55 sukarelawan bagi membantu kerja pembersihan kediaman penduduk terjejas banjir di dua kawasan.

Pegawai Programnya Amin Hafidzi berkata sukarelawan terbabit yang diaktifkan kelmarin melaksanakan operasi pembersihan rumah penduduk di Bangi Lama dan Dengkil.

“Setakat Selasa, 35 sukarelawan hadir dalam misi pembersihan enam rumah di Kampung Bangi Lama dan Dengkil.

“Manakala pada Rabu (semalam) dicatatkan seramai 20 sukarelawan hadir bagi operasi pembersihan yang bertumpu di empat rumah di Kampung Bangi Lama,” katanya dalam kenyataan.

Selain pembersihan, beliau memaklumkan bantuan lain turut disalur kepada mangsa yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 60 keluarga.

Menurutnya, bantuan bakul makanan, lampin bayi dan dewasa diagih ke PPS Kampung Dato’ Ahmad Razali, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir serta Balairaya Bangi Lama.

“Edaran ini dibantu pengurus PPS, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ketua kampung. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir,” katanya.


Pengarang :