Orang ramai membeli barangan pada Jualan Rahmah Bergerak di perkarangan Masjid Ameer Fawwaz, Kampung Sungai Baru, Arau pada 9 November 2023. Foto Facebook KPDN Perlis
AGENDANASIONAL

Orang ramai serbu Jualan Rahmah Bergerak, nikmati harga rendah

ALOR SETAR, 10 NOV: Inisiatif Jualan Rahmah Bergerak yang diadakan di Kampung Berjaya, di sini berjaya menarik hampir 200 penduduk untuk membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding di pasaran.

Tinjauan Bernama mendapati selain harga seperti beras, ayam, minyak masak, bawang serta sayur-sayuran ditawarkan lebih murah, bekalan yang disediakan juga dilihat mencukupi walaupun ada yang membeli dalam kuantiti yang lebih.

Seorang penduduk, Mizmar Mohamad, 50, dari Pantai Johor di sini, berkata inisiatif yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu rakyat.

Menurutnya program ini mampu mengurangkan beban orang ramai yang dihimpit kenaikan kos sara hidup.

“Hari ini saya beli ayam dua ekor pada harga RM24, beras kampit lima kilogram (kg) pula hanya RM14 memang murah, manakala barang yang lain harganya juga lebih rendah antara 10 dan 50 peratus berbanding di pasaran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Warga emas, Jamilah Ali, 66, pula berkata dia hadir ke program itu bersama sahabatnya bagi mendapatkan bekalan barangan keperluan.

“Harga barangan di program jualan ini murah, dapatlah berjimat sikit. Rasa rugi datang dengan motosikal sebab tak boleh beli banyak bakul motorsikal tak muat…saya beli ayam dan beras saja,” katanya yang turut berharap inisiatif itu diteruskan pada masa depan.

Suri rumah, Fauziah Baharom, 59, berkata inisiatif Jualan Rahmah Bergerak itu sedikit sebanyak membantunya dalam menjimatkan perbelanjaan barangan dapur sekali gus wang tersebut dapat digunakan untuk keperluan lain.

“Sebenarnya dapat jimat banyak, misalnya harga minyak masak 5kg hanya RM25 berbanding RM30 di luar, bagi saya beza RM5 besar kerana ini belum lagi barangan lain seperti ayam, tepung dan sebagainya,” katanya.

Menurut Fauziah walaupun inisiatif itu tidak diadakan setiap hari di kawasannya, ia tetap sangat bermakna dalam meringankan beban rakyat ketika ini.

Barangan lain yang turut dijual pada program itu termasuk tepung gandum yang dijual pada harga RM5 bagi dua peket, ubi kentang (RM5 bagi setiap dua peket), bawang besar (RM2.50 sekg) dan sardin (RM7).

-BERNAMA


Pengarang :