Sukarelawan MyCARE mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk Palestin di Beit Lahiya di Utara Gaza pada 16 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

53 trak bantuan tambahan masuk ke Gaza

ANKARA, 12 NOV: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Sabtu berkata sebanyak 53 trak bantuan tambahan memasuki Semenanjung Gaza dari Mesir melalui lintasan sempadan Rafah.

Trak berkenaan membawa bekalan penting, termasuk ubat-ubatan dan bekalan perubatan, barangan makanan, air dan bantuan kecemasan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut persatuan itu, barang-barang berkenaan dapat membantu memenuhi keperluan segera penduduk di Gaza.

Sebanyak 904 trak bantuan telah dibenarkan masuk ke Gaza sejak 21 Oktober. Namun, jumlah itu masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk yang terjejas akibat serangan Israel.

Tentera Israel masih menyekat kemasukan bahan api ke Gaza.

Sebelum konflik terkini meletus, sebanyak 500 trak barang, termasuk 45 trak bahan api memasuki Gaza pada setiap hari.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :