Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari memberi duit raya kepada kanak-kanak ketika mengunjungi rumah S Vinayagar sempena sambutan Deepavali di Kampung Wira Damai Gombak pada 12 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Semangat keharmonian perpaduan harus kekal

GOMBAK, 12 NOV: Semangat keharmonian perpaduan harus dikekalkan dan diterjemah dalam masyarakat terutama apabila berdepan isu antarabangsa.

Justeru, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua pihak wajar menyokong usaha perdana menteri membawa mesej keamanan dan kemakmuran rakyat Palestin.

“Yang amat berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak menggunakan isu itu untuk kepentingan politik peribadi yang sempit.

“Oleh itu, saya berharap semangat ini dapat dikekalkan terutama apabila berdepan dengan isu antarabangsa kita perlu bersama tetapi apabila isu domestik kita faham masing-masing ada pandangan tersendiri,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Amirudin bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad meluangkan masa mengunjungi masyarakat India sekitar Parlimen Gombak hari ini menerusi jelajah sempena sambutan perayaan Deepavali.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad berswafoto bersama keluarga S Vinayagar ketika kunjungan sempena sambutan Deepavali di Kampung Wira Damai Gombak pada 12 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Amirudin turut berterima kasih di atas kesudian tuan rumah mengundangnya ke rumah terbuka dan memuji semangat keharmonian pelbagai bangsa hari ini.

“Ini merupakan program rutin saya setiap tahun turun ke kawasan sahabat handai komuniti India bagi bersama meraikan Deepavali.

“Alhamdulillah, kami mendapat layanan yang sangat baik dan ini juga peluang untuk kita semua mengeratkan lagi hubungan meski berbeza kaum dan budaya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Malaysian Indian Congress (MIC) Gombak K Gobiraj ketika ditemui berkata teruja dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar ke kediamannya buat pertama kali hari ini.

“Terima kasih kerana sudi hadir kesini dan memakan pelbagai menu disediakan antaranya nasi minyak dan kari kambing. Ini satu penghormatan buat kami,” katanya.

Manakala, seorang aktivis S Vinayagar menganggap hubungannya dengan Amirudin seperti adik-beradik dan memuji sifat prihatin pemimpin tersebut yang sentiasa cakna kebajikan rakyat.

“Yang Amat Berhormat tidak pernah tidak berkunjung ke rumah kami setiap kali tibanya perayaan Deepavali sejak lebih tujuh tahun lalu.

“Kami sekeluarga amat gembira dan hubungan kami dengan beliau pun sangat akrab seperti adik-beradik. Hari ini kami jamu pelbagai menu antaranya tosai dan kari ketam,” katanya.


Pengarang :