Petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan telinga terhadap salah seorang peserta Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring fokus perkhidmatan bergerak, mahu lebih ramai terima manfaat

SHAH ALAM, 12 NOV: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan tahun depan melalui perkhidmatan bergerak (mobile outreach), kata ahli penasihat kesihatan awam negeri.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata kaedah berbeza akan diperkenal bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk di kawasan pedalaman menikmati manfaat program Selangor Saring.

“Apa yang kita mahu lihat tahun depan adalah daripada segi pendekatan dan kaedah pelaksanaannya. Kita mahu ia lebih luas, kalau boleh tidak mahu buat di tempat sama dan kepada orang sama.

“Baki peruntukan tahun ini banyak digunakan untuk buat saringan berdasarkan permintaan wakil rakyat termasuk wakil badan pengurusan bersama (JMB) di projek perumahan rakyat (PPR) terutama selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apabila dibuat di DUN, ada beberapa kawasan khususnya pedalaman kita tidak dapat masuk. Jadi tahun depan kita fokus kepada ‘mobile outreach’. Mana-mana kita sampai, kita buat terus saringan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan Selangor Saring termasuk Saringan Barah.

Selangor Saring diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Melalui inisiatif itu, peserta boleh menjalani saringan air kencing, mata, barah pangkal rahim, payu dara dan prostat serta ujian darah.

Tahun ini, skim tersebut ditambah baik dengan beberapa lagi khidmat saringan disediakan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :