Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kiri) melakukan simbolik penyerahan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pendidikan Islam Ustaz Mahadir Nasri di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto MBI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tuisyen percuma, seramai 130,000 pelajar disasar terima manfaat tahun depan

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima disasar mendapat manfaat menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) tahun depan, maklum Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua tanggungjawab sosial korporat dan komunikasi korporatnya berkata program pembelajaran percuma itu akan melibatkan peruntukan RM10 juta berbanding RM7 juta sebelum ini, selaras pengumuman Belanjawan Selangor 2024.

“Bagi tahun 2024, PTRS bukan hanya menyasarkan pelajar tingkatkan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bahkan dipanjangkan kepada pelajar tingkatan empat.

“Ia sekali gus untuk menunaikan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu jumlah pelajar mendapat manfaat PTRS seramai 200,000 dalam tempoh lima tahun sejajar Tawaran Kita Selangor,” kata Ahmad Azri Zainal ketika dihubungi.

Beliau menambah tambahan dana RM3 juta bagi menjayakan inisiatif terbabit mencerminkan komitmen pentadbiran negeri dalam meningkatkan prestasi pelajar sekolah menengah dengan keputusan SPM menjadi kayu ukur.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan tambahan peruntukan RM3 juta untuk PTRS kepada MBI tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM7 juta bagi program sama, menjadikan jumlahnya RM10 juta untuk tahun hadapan.

PTRS menumpukan 65,000 pelajar di Selangor dengan mengadakan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan pada 2023.

PTRS memberi bantuan kelas tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.


Pengarang :