Orang ramai mendaftar untuk mendapatkan baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Permohonan SMUE naik tiga kali ganda susulan nilai baucar RM150

SHAH ALAM, 14 NOV: Permohonan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) meningkat tiga kali ganda berikutan penambahan nilai baucar Jom Shopping daripada RM100 kepada RM150 yang dilaksana tahun ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata seramai 110,566 warga emas memohon skim berkenaan setakat Oktober, berbanding 29,777 permohonan yang diterima sepanjang tahun lalu.

“Ini menyebabkan kelewatan pendaftaran ahli SMUE selain faktor penjenamaan semula Skim Mesra bagi golongan orang kurang upaya (OKU) kepada Skim Mesra Insan Istimewa.

EXCO Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selain itu, penebusan baucar juga tidak lagi dibuat pada bulan kelahiran, sahaja sebaliknya boleh dibuat sepanjang tahun,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Lee, Anfaal berkata Kerajaan Negeri membentuk pasukan khas yang bertanggungjawab memproses permohonan terbabit bagi mengatasi isu kelewatan.

Jelasnya, usaha itu membolehkan 39,882 borang diproses dalam tempoh seminggu selain Yayasan Warisan Anak Selangor berusaha menyemak dengan kelulusan dijangka selesai akhir Disember ini.

“Kerajaan Negeri juga merancang untuk mendigitalkan skim ini melibatkan proses pendaftaran sehingga penebusan e-baucar, yang dijangka dilaksana pertengahan tahun depan,” katanya.

Mulai tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 melibatkan peruntukan RM37.5 juta dengan had kelayakan pendapatan isi rumah turut dinaikkan kepada RM3,000 sebulan.


Pengarang :