EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah ditemui selepas Mesyuarat Kedua (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO cabar individu tuduh undang-undang syariah bakal lenyap kemuka bukti

SHAH ALAM, 14 NOV: EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah mencabar individu di sebalik ciapan di aplikasi X, melalui akaun Pemuda PAS Malaysia tampil menjelaskan dakwaan kononnya undang-undang jenayah syariah bakal lenyap dan perkara itu sudah berjaya dilakukan di negeri ini.

Beliau berkata tuduhan itu adalah fitnah dan dilihat seperti bersifat kebudak-budakan demi publisiti murahan.

“Saya cabar yang tulis itu (pembuat ciapan) kalau kita boleh berdepan beritahu apa isunya sebab saya tidak lihat ada isu undang-undang itu (syariah) akan lenyap, sebaliknya pemerkasaan itu jelas.

Apa isu yang mengatakan undang-undang akan lenyap? Kita bagi ruang untuk enakmen-enakmen negeri berkembang mengikut peredaran zaman. Yang dia (mendakwa) bakal lenyap, mereka dah berjaya di Selangor. Apa buktinya? saya cabar mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara sedemikian tidak mungkin berlaku di Selangor, memandangkan undang-undang syariah berada di bawah kuasa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selain majlis dan jabatan agama negeri masih berfungsi untuk mendaulatkan syiar Islam.

“Tuanku (Sultan Selangor) masih ada, MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) masih ada, JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) masih ada, saya masih exco agama Islam pun ada, di mana isunya? Janganlah main politik fitnah ini, yang kita sedang buat ini untuk memperkasakan dan supaya mendaulatkan syiar Islam di Selangor, itu jelas,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Pas Malaysia dalam ciapannya di aplikasi X mendakwa undang-undang jenayah syariah bakal lenyap jika rakyat terus berdiam diri dan ia berjaya dilakukan di Selangor.

Hantaran itu turut mengaitkan kes peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid bersama anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Sementara itu, sebanyak 22 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Amanah Selangor akan membuat laporan polis terhadap Pemuda PAS Malaysia berhubung ciapan mereka di aplikasi X kononnya undang-undang jenayah syariah di Malaysia bakal lenyap.

Ketua AMK Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata ciapan mereka itu juga dilihat jelas menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid (kiri) dan Ketua AMK Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika sidang media di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“AMK Selangor turut mempersoalkan kenyataan tersasar dan menyesatkan Pemuda PAS Malaysia, sejak bila Selangor tidak mempunyai undang-undang syariah. Kuasa berhubung dengan undang-undang syariah ini jatuh di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Raja Pemerintah, justeru PAS Malaysia (Pemuda) harus duduk dan kaji semula Perlembagaan Persekutuan.

Kami menggesa Pemuda PAS Malaysia supaya berhenti mempolitikkan isu ini untuk publisiti murahan dan memohon ampun kepada Sultan Selangor dengan kadar segera atas fitnah yang sengaja dibuat bagi merendah-rendahkan martabat institusi beraja Selangor yang bertanggungjawab menjaga perihal undang-undang syariah di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :