Mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika tinjauan Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bersama media di Sungai Klang ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sungai Klang berwajah baharu, kualiti air meningkat, kurang masalah bau

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Dikategori antara sungai tercemar, Sungai Klang kini berwajah baharu hasil usaha pemulihan termasuk mengindah dan membangunkan tanah di sepanjang laluannya.

Menerusi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), usaha menaik taraf sungai sepanjang 56 kilometer sejak 2018 itu membuahkan hasil.

SMG dijayakan oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Usaha memulihkan Sungai Klang melayakkan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri berkenaan meraih pengiktirafan Green World Awards 2023.

Ia diperoleh susulan pelbagai kejayaan antaranya memulihkan kualiti air daripada kelas empat kepada kelas dua.

Pada musim tengkujuh, kualiti air sungai meningkat menjadi kelas satu. Ini sekali gus mengurangkan masalah bau yang sekian lama membelenggu penduduk berhampiran sungai.

Keputusan itu berdasarkan empat stesen pemantauan kualiti air di sungai berkenaan.

Sebanyak tujuh perangkap sampah (log boom) dipasang di Sungai Klang. LLSB juga menggunakan dua mesin kaut sampah Interceptor.

Pada 2022, kutipan sampah sebanyak 63 peratus, melepasi sasaran awal 40 peratus. Setakat Oktober, 88,000 tan metrik sampah dikutip.

SMG turut menjalankan kerja mendalam dan melebarkan Sungai Klang melalui projek tebatan banjir bernilai RM700 juta tanpa melibatkan suntikan tunai Kerajaan Negeri.

Kerja pendalaman dan pelebaran sungai secara berperingkat untuk tempoh lima tahun bertujuan mengelak banjir besar pada Disember 2021 berulang selain menangani pencemaran.

Dimulakan 1 November tahun lepas, pendalaman sungai bermula di Bukit Lanchong sehingga ke Taman Sri Muda, Shah Alam dan muara sungai dengan anggaran kos RM249 juta.

Ia dibiayai melalui tanggungan premium tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya penerokaan pembiayaan oleh MBI.

Nilai ekonomi

Semua inisiatif berkenaan sebahagian projek pembangunan dalam pelan lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1) hingga 2025.

Dikenali Zon Pembangunan Ekonomi SMG (ZPE SMG), ia bakal menjadi koridor pelaburan pertama di Malaysia yang mengiktiraf sungai sebagai penjana ekonomi.

ZPE SMG juga mempercepat pertumbuhan ekonomi di Selangor dengan memanfaatkan laluan air yang juga lokasi dua pelabuhan utama – Westports dan Northport.

Zon baharu ini meliputi lebih 27,900 hektar tanah dari Mid Valley di Kuala Lumpur hingga ke muara sungai dan pulau-pulau berdekatan Pelabuhan Klang.

Mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika lawatan Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bersama media di Sungai Klang pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dua zon pembangunan utama dikenal pasti dalam ZPE SMG bermula dari hulu ke hilir sungai dan termasuk pulau-pulau di sekitarnya.

Zon berkenaan (A) ialah Zon Pembangunan Ekonomi meliputi kawasan kira-kira 22,780 hektar yang diiktiraf dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035.

Zon kedua (B) pula Zon Pembangunan Ekonomi merangkumi tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan keluasan lebih kurang 5,180 hektar. Anggaran jumlah pelaburan RM2.2 bilion.

Selain Zon Pembangunan Ekonomi SMG, dua lagi kawasan dimajukan Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).


Pengarang :