OLEH NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 15 NOV: Komitmen negeri melunaskan baki hutang dengan kerajaan persekutuan tahun depan dianggap langkah berani dan bukti pentadbiran itu mampu menguruskan sumber kewangan dengan baik.
Ahli Dewan Negeri Batu Tiga menjelaskan usaha komprehensif Dato’ Menteri Besar dan pasukan kerajaan dalam tempoh beberapa tahun berjaya mengurangkan baki hutang kepada RM19.20 juta.
“Kejayaan ini memperkuat kedudukan kewangan negeri, membebaskan lebih banyak sumber untuk pembangunan dan projek prorakyat.
“Belanjawan Selangor 2024 mencerminkan pencapaian yang membanggakan, menjadikan ia satu tonggak bersejarah bagi negeri ini,” kata Danial Al-Rashid ketika dihubungi.
Dalam pembentangan belanjawan Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka pentadbiran negeri mampu melunaskan hutang tahun depan berdasarkan kebebasan kewangan cemerlang yang dimiliki.
Beliau berkata hutang RM19.20 juta terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM17.3 juta dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS) berjumlah RM1.89 juta.