Suasana sekitar di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Dengkil pada 7 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hadapi banjir, Fama bekal 60,000 kit makanan kepada Nadma

TANJONG KARANG, 15 NOV: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan membekalkan 60,000 kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada mangsa terlibat bencana khususnya banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata daripada jumlah itu 40,000 daripadanya perlu disediakan sebagai stok fasa pertama sebelum akhir tahun ini sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Ini merupakan persiapan tahunan bagi menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut. Kit makanan ini sebagai bantuan awal kepada setiap keluarga mangsa bencana melibatkan keperluan asas dan produk sedia dimakan yang dibekalkan oleh usahawan-usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perlepasan Pengedaran Kit Makanan MTL Bagi tahun 2023/2024 di Pusat Memproses Makanan Fama di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Fama Aminuddin Zulkipli, Ketua Pengarah Fama Abdul Rashid Bahri, Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus dan Pengarah APM Selangor Penolong Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Ghazali Abd Rahman.

Chan berkata setakat ini Fama telah berjaya membekalkan 295,214 kit makanan kepada Nadma sejak 2015 dengan setiap kit makanan itu mengandungi 12 produk makanan antaranya beras, garam, gula, susu pekat, kopi, kicap manis, bihun dan makanan sedia dimakan.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama Fama itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dengan harapan dapat meringankan beban mangsa bencana.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, beliau berkata pihaknya pada tahun ini berada di tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Antara persediaan dilakukan termasuklah dari segi logistik, dari segi kesihatan, penyelarasan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Kami telah membuat persediaan sepanjang tahun seperti latihan awal dan ia bukan tertumpu semasa monsun semata-mata.

“Kami juga telah bersedia dengan 8,000 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang terdiri daripada sekolah dan dewan-dewan masyarakat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :