EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: 225 sekolah agama persendirian diputihkan takat September

SHAH ALAM, 15 NOV: Sebanyak 225 daripada 497 sekolah agama persendirian di Selangor melalui proses pemutihan sejak 2020 hingga September lalu.

Menurut EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah usaha pemutihan membabitkan 106 maahad tahfiz, sekolah rendah Islam integrasi (98) dan sekolah menengah Islam (21).

Beliau bagaimanapun mengakui halangan dilalui pihak sekolah untuk melaksanakan tindakan itu seperti kos lantikan konsultan sebagai syarat mendapat kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“(Ia termasuk) pelanggaran keperluan peraturan PBT dengan sekolah yang beroperasi tidak berupaya mendapat ulasan kebenaran PBT.

“Ada juga sedikit perubahan perlu dibuat pada garis panduan pemutihan 1.0 bagi memudahkan pelaksanaannya kerana (garis panduan) yang ada tidak melihat secara menyeluruh kemampuan sekolah persendirian untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh berhubung status sekolah agama persendirian yang berjaya diputihkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohammad Fahmi mencadangkan semakan segera garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian negeri sedia ada untuk penambahbaikan bagi memudahkan sekolah menepati syarat PBT.

Selain itu, katanya, pendaftar sekolah Islam bersetuju memberi lanjutan pendaftaran sehingga Disember tahun depan bagi memberi peluang sekolah terbabit mendapat ulasan PBT termasuk melaporkan kemajuan terkini daripada konsultan yang dilantik.

“Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor akan membentang garis panduan pemutihan pendaftaran sekolah agama persendirian yang dibuat Jabatan Perancang Bandar dan Desa kepada PBT.

“Ia termasuk bantuan pemutihan sekolah tahfiz yang dibiayai Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM3.35 juta untuk tujuan konsultasi,” katanya lagi.


Pengarang :