Petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan telinga terhadap salah seorang peserta Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Saringan percuma bantu puluhan ribu kesan risiko penyakit tidak berjangkit

SHAH ALAM, 15 NOV: Program Selangor Saring yang diperkenal Mei tahun lalu membantu 19,888 rakyat Selangor mengenal pasti status kesihatan bagi mengelak risiko penyakit tidak berjangkit (NCD)

EXCO kesihatan awam berkata inisiatif percuma itu selaras agenda memastikan kesihatan rakyat terpelihara selain memberi kesedaran kepentingan membuat pemeriksaan dari masa ke masa.

“Sebagai langkah pencegahan dan mengurangkan penyakit NCD, Kerajaan Negeri memperkenal pelbagai inisiatif yang mengambil pendekatan pengesanan awal meliputi pemeriksaan fizikal dan ujian darah.

“Program lain termasuk ujian air kencing, pemeriksaan mata, gigi dan telinga serta fisioterapi,” kata Jamaliah Jamaluddin dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin, jelasnya, faktor risiko penyakit NCD di Selangor berpunca daripada obesiti (32.7 peratus) diikuti berat badan berlebihan (32.4 peratus).

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Merujuk tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2019, katanya, fizikal tidak aktif pula menyumbang 24.2 peratus, perokok (18.5 peratus), pengambilan alkohol (10 peratus) dan rokok elektronik (7.2 peratus).

Beliau memberitahu inisiatif lain mengurangkan juga dijalankan dengan memupuk kesedaran gaya hidup sihat dan penjagaan nutrisi seperti program Anak Selangor Anak Sihat serta Slim Selangor.

“Kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor turut dijalin dengan mengadakan hebahan promosi dan advokasi kepada orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaliah menambah program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang diperkenal Ogos tahun lalu membantu mengatasi masalah kesihatan mental melalui ujian kendiri.

Memanfaatkan 97,223 pengguna aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), katanya, program terbabit juga membolehkan pengguna mendapatkan cara pengurusan simptom masalah kesihatan.

“Selain itu, pengguna boleh mendapatkan sokongan psikososial melalui bantuan talian dan program subsidi rawatan pakar psikiatri sekiranya keadaan pesakit pada tahap serius,” katanya.


Pengarang :