Petugas kesihatan memantau tahap kesihatan mangsa bah di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 1,000 pusat pemindahan diwarta, persediaan depani banjir

SHAH ALAM, 15 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri mewarta 1,152 pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi bencana banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka sehingga Mac depan.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata kesemua PPS dilengkapi garis panduan termasuk menguatkuasakan pengendalian untuk mangsa yang mengalami masalah kesihatan.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Hilmi menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bekalan keperluan asas juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi. Semua aset seperti pam air serta stesen-stesen penting antaranya telemetri, amaran, sukatan luahan, curahan hujan, paras air dan kamera dipantau secara harian bagi memastikan baik dan bersedia.

“Agensi tertentu antaranya polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam turut diletakkan dalam keadaan bersiap siaga selain telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL,” katanya menjawab soalan Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya) di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

“Selain itu aset digunakan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga ditempatkan di lokasi strategi seperti pangkalan hadapan.”

Mengulas lanjut Najwan berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan pegawai daerah bertanggungjawab menyelaras segala operasi bantuan.

“Pegawai daerah diarah melaksanakan mesyuarat persediaan dengan segera bagi memastikan perancangan awal berhubung urusan pemindahan, menyelamat serta bekalan keperluan asas mencukupi,” katanya.

Pada Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 10,000 pek keperluan asas banjir disediakan dan jumlah itu lebih sekali ganda daripada jumlah mangsa 2021 berikutan bimbang sekiranya banjir kali ini melibatkan kawasan lebih luas.


Pengarang :