EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rekod RM88.88 bilion pelaburan sepanjang 5 tahun, luluskan 1,506 projek kilang

SHAH ALAM, 16 NOV: Selangor menjana nilai pelaburan sebanyak RM88.88 bilion bagi tempoh 2018 hingga Jun lalu selepas meluluskan 1,506 projek perkilangan, kata EXCO pelaburan.

Ng Sze Han berkata daripada jumlah itu RM53 bilion melibatkan pelaburan modal asing manakala baki RM35.88 bilion daripada tempatan.

“Projek perkilangan ini mewujudkan sebanyak 95,610 potensi peluang kerja,” katanya ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han berkata pentadbiran menumpukan industri sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, produk elektrik dan elektronik, kelengkapan serta pengangkutan seperti aeroangkasa dan dron bagi menggalakkan lagi nilai pelaburan seterusnya memacu ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri juga giat menjalankan promosi pelaburan secara fizikal atau dalam talian dengan pihak dewan perniagaan tempatan dan luar negara.

“Bagi sektor perkhidmatan, kerajaan mengenal pasti sektor yang berpotesi berkembang antaranya perkhidmatan logistik, pelaburan digital seperti perniagaan perkhidmatan global, pusat data dan teknologi kreatif,” katanya.


Pengarang :