Kerajaan memberikan tol percuma sempena perayaan Deepavali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tanggung RM30 juta laksana tol percuma sempena Deepavali

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan menanggung kos sebanyak RM30 juta bagi pemberian tol percuma sempena perayaan Deepavali baru-baru ini, kata timbalan menteri kerja raya.

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kerajaan juga perlu menanggung kos tinggi sejumlah RM 435 juta untuk penangguhan kenaikan tol di seluruh negara pada tahun lepas.

“Penstrukturan semula kadar tol perjanjian konsensi ini melibatkan rundingan dua pihak antara pihak konsensi dan kerajaan yang akan diluluskan semestinya dari Kementerian Kewangan.

“Semasa Deepavali, saya rakamkan ucapan terima kasih khusus kepada perdana menteri, yang juga menteri kewangan kerana telah memberi selama dua hari tol percuma melibatkan kos sebanyak RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan, langkah menghapuskan tol di seluruh negara memerlukan kajian secara menyeluruh kerana kerajaan akan menanggung kos tinggi sebanyak RM400 bilion jika ia dilaksanakan.

“Kalau keseluruhan tol dalam negara nak dihapuskan, ia melibatkan hampir RM400 bilion kalau nak hapuskan tol ini dan penggantian kepada kos tersebut,” katanya.


Pengarang :