Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kiri) mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi (kanan) pada Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 16 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ratusan imarah Majlis Ilmu Selangor Madani, umat Islam diseru terus bantu Palestin

SHAH ALAM, 16 NOV: Hampir 200 umat Islam mengimarahkan Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam ini.

Menampilkan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi, majlis dimulakan dengan solat Maghrib diikuti tazkirah dan solat Isyak berjemaah.

Program keagamaan itu dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim, dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor Norita Mohd Sidek dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi (kanan) menyampaikan tazkirah pada Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 16 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menerusi tazkirah bertajuk ‘Peranan Ummah Dalam Pembebasan Al Aqsa’, Syeikh Dr Ali berpesan supaya umat Islam mengimbangi dua amanah penting sebagai khalifah.

“Islam menitikberatkan pengabdian yang sejati kepada Allah dan peranan besar dalam melakukan pembangunan ketamadunan. Kedua-dua ini adalah tugas utama manusia.

“Ia perlu seimbang agar Islam mampu kuasai dunia. Dua perkara ini juga adalah amat penting untuk kita bebaskan Aqsa. Kalau kurang antara salah satunya, kita akan tewas,” katanya.

Tazkirah yang disampaikan dalam Bahasa Arab dan diterjemah oleh Ahmad Firdaus Kadir antara lain turut menyeru agar semua umat Islam meneruskan segala usaha membantu rakyat Palestin.

Jemaah berswafoto dengan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi selepas tamat Majlis Ilmu Selangor Madani di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 16 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Syeikh Dr Ali, umat Islam digalakkan menumpukan kepada usaha memberi bantuan dan mengalihkan sebentar ibadat sunat yang memerlukan perbelanjaan besar seperti umrah.

“Ada pun ummah, apakah peranan kita? Sudah pasti lah kita diseru Allah supaya bertaqwa semaksima mungkin. Gunakan segala usaha kita untuk bantu rakyat Palestin.

“Antara yang boleh kita lakukan adalah beri bantuan kewangan menerusi zakat. Selain itu, yang perlu dilakukan adalah kita alihkan fokus kepada perkara sunat seperti umrah untuk beri bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

 


Pengarang :