EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau perkembangan projek penstabilan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada 18 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SEANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laluan Batang Kali-Genting Highlands dibuka selewatnya Mei tahun depan

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerja membaiki cerun dan laluan di kawasan tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka dibuka kepada awam selewatnya Mei depan.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata projek dengan kos RM19 juta siap 38.6 peratus ketika ini dan perlu diteliti sebaiknya bagi keselamatan pengguna.

“Kerja baik pulih dijangka siap pada 29 Mac depan dan dibuka kepada awam selepas satu atau dua bulan selepas siap kerana mengambil kira keadaan cerun dan keselamatan laluan tersebut,” katanya.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Gasing R Rajiv berhubung status tragedi tanah runtuh Batang Kali dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Ir Izham menjelaskan laporan lengkap tragedi itu didedahkan kepada awam bulan lalu dan ia boleh diakses menerusi laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau menambah hujan lebat berpanjangan menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan tertimbus dengan sisa runtuhan tanah.

“Kita meneliti dan secara umumnya tiada unsur kecuaian mana-mana pihak. Ia disebabkan kegagalan kaki cerun yang telah tepu air, dan malangnya ia tidak memberi sebarang tanda,” katanya.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa manakala 61 mangsa lagi terselamat.

Ia merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.


Pengarang :