BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Cabar enakmen syariah jejas kuasa negeri

Berikut kenyataan penuh Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkaitan peruntukan undang-undang syariah negeri pada 17 November 2023.

Majlis Agama lslam Selangor (Mais) menzahirkan kebimbangan berhubung dengan gerakan pihak-pihak tertentu yang secara halus cuba untuk menjejaskan kedudukan agama lslam sebagai agama Negeri dan agama Persekutuan melalui proses litigasi mahkamah. Ini termasuk mempertikai bidang kuasa Negeri dalam menggubal peruntukan undang-undang lslam yang kebanyakannya adalah kelestarian daripada undang-undang lslam yang telah diamalkan dan dikuatkuasakan di negeri-negeri di Malaysia sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada kes Nik Elin yang memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019, Mais menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan kuasa Mahkamah Persekutuan dalam memutuskan perkara berkaitan pentadbiran keadilan. Namun, Mais berpendirian bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengelak pertikaian seperti kes lki Putra dan kes Nik Elin ini berlaku lagi pada masa akan datang. lni kerana pertikaian seperti ini hanya akan menjejaskan kuasa Negeri berhubung dengan agama lslam.

Justeru, Mais menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan penubuhan jawatankuasa khas di peringkat Persekutuan untuk membuat kajian tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang lslam dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan termasuklah mencadangkan pindaan terhadap perlembagaan Persekutuan dan Akta 355 berkaitan dengan bidang kuasa jenayah syariah negeri. Ini adalah sepertimana titah Duli Yang Maha Mulia sultan Selangor sebagai pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal lslam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI Kali ke-70 baru-baru ini.

Mais sentiasa komited untuk memperkasa perundangan lslam di Negeri Selangor. Justeru, Mais menyatakan komitmen dan mengharapkan Kerajaan Persekutuan agar melibatkan Majlis Agama lslam Negeri termasuk Mais untuk bersama-sama dengan jawatankuasa khas yang dibentuk. lni adalah untuk memastikan tindakan yang menyeluruh dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berhubung dengan kompetensi badan perundangan negeri dalam menggubal undang-undang lslam demi untuk menjaga kedudukan agama lslam sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri.


Pengarang :