Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa keseluruhan kereta yang ditenggelami air banjir termasuk pendawaian secara teliti. FOTO FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja RM15.3 juta perkasa TVET, bantu ribuan pelajar sejak 2018

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM15.3 juta bagi memperkasa bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) membabitkan 3,957 pelajar sejak 2018.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu membantu pelajar menjalani modul latihan dan program berkaitan bawah institusi kelolaan Kerajaan Selangor.

“Beberapa usaha kita laksanakan untuk pembangunan TVET menerusi program bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

“Ia menekankan ekosistem latihan kemahiran berorientasi industri iaitu Sijil Kemahiran Malaysia, yang dapat melengkapkan kemahiran bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Gasing R Rajiv berhubung pemerkasaan bidang TVET dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri menetapkan syarat minimum bagi kursus TVET untuk menarik minat penyertaan belia selain peruntukan khusus dalam pembiayaan pengajian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu menjelaskan Kerajaan Negeri juga sedang berusaha mengenal pasti kerjasama dengan sekolah bagi meningkatkan pendidikan kemahiran.

“Kita ingin pastikan pendidikan TVET tidak hanya memberi penumpuan kepada program bagi pelajar yang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Ia juga disediakan kepada pelajar cemerlang yang mahu mengikuti pendidikan di peringkat TVET kerana bidang ini turut menyediakan pendidikan tinggi,” katanya.


Pengarang :