EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor yakin capai sasaran nilai pelaburan RM45 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Selangor menyasar unjuran nilai pelaburan berjumlah RM45 bilion tahun ini dengan sektor perkhidmatan menyumbang RM32 bilion diikuti sektor pembuatan sebanyak RM12 bilion.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata sebanyak 657 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM29.72 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

“Projek pelaburan yang diluluskan ini melibatkan sebanyak 114 projek perkilangan dengan nilai RM14.75 bilion. Manakala sebanyak 543 projek telah diluluskan dalam sektor perkhidmatan dengan nilai RM 14.96 bilion.

“Berdasarkan momentum dan prestasi pelaburan yang memberangsangkan, kita yakin jumlah pelaburan yang diunjurkan akan mampu dicapai pada penghujung tahun 2023 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Jun lalu, Selangor diumumkan sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbesar dengan 25.5 peratus, sekali gus melebihi satu perempat ekonomi negara.

Pencapaian tertinggi dalam tempoh 14 tahun itu disumbang pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan apabila negeri ini mencatatkan peratusan tertinggi masing-masing 32.2, 34.1 dan 26.5 peratus.

 


Pengarang :