Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar bersama helikopter Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 di Kepala Batas pada 22 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan lulus RM10 juta bina pangkalan udara bomba di Subang

KEPALA BATAS, 18 NOV: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan RM57.695 juta untuk pembangunan fasiliti dan prasarana kebombaan ke arah memperkasakan Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peruntukan itu merupakan Perbelanjaan Pembangunan (DE) di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi 2024.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM10 juta diluluskan bagi projek sambungan pembinaan Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Subang melibatkan bangunan pentadbiran, hangar, sektor logistik, bengkel kejuruteraan, heliport, stesen bahan api pesawat dan kemudahan lain.

“Sejumlah RM1.2 juta diperuntukkan bagi projek sambungan perolehan peralatan khas menyelamat helikopter melibatkan 10 unit payung terjun dan satu set Underslung Tactical Rescue Platform, manakala RM46.495 juta lagi untuk projek fizikal penyelenggaraan helikopter dan aircraft refueller.

“KPKT sentiasa mengambil cakna akan pembangunan fasiliti dan prasarana yang berkaitan dengannya, justeru penambahbaikan ini diharap dapat meningkatkan fungsi dan peranan penting Bahagian Udara dan Pangkalan Udara JBPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Bahagian Udara JBPM di Pangkalan Udara Wilayah Utara Bertam di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.

Akmal Nasrullah berkata selain pembinaan prasarana, KPKT juga dalam proses memohon perolehan empat unit helikopter baharu masing-masing dua unit bagi pelaksanaan penerbangan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS) dan dua unit lagi untuk penggantian bagi kegunaan JBPM.

Bagaimanapun, katanya perkara itu masih dalam proses melaksanakan kajian analisis kos dan manfaat sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata Pangkalan Udara Bertam kini dikenali sebagai Pangkalan Udara Wilayah Utara dibina di atas tapak berkeluasan 16 hektar dan menelan belanja RM30.5 juta.

Beliau berkata pangkalan yang siap dibina pada 2009 itu dilengkapi dengan bangunan hangar terdiri daripada ruang pentadbiran dan operasi penerbangan, ruang kemudahan operasi unit udara, hangar pesawat, ruang pengurusan kejuruteraan pesawat, ruang pengurusan Pasukan Multiskills (MUST), JBPM dan kemudahan lain.

-BERNAMA


Pengarang :