Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan PPusat Smart Desa di Kampung Endah sempena majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pusat Smart Desa diperluas setiap daerah, tingkat kualiti hidup luar bandar

KUALA LANGAT, 18 NOV: Pusat Smart Desa yang dibangunkan di Sabak Bernam dan Kuala Langat akan diperluas ke tujuh lagi daerah secara berperingkat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat sehenti untuk orang ramai menggunakan perkhidmatan internet percuma dan menjalankan pelbagai aktiviti itu antara usaha memperkasa kualiti kehidupan penduduk luar bandar.

“Kaedah yang digunakan untuk projek rintis pusat Smart Desa di Kampung Endah di sini wajar dicontohi. Pusat ini gunakan solar dan tidak membebankan MPKK (Majlis Pembangunan Komuniti Kampung). Kalau guna elektrik biasa mungkin terpaksa bayar kos tinggi.

“Sudah pasti pusat ini akan diperluas, cuma kita akan tengok semula kosnya antara RM200,000 hingga RM250,000 (setiap pusat). Kita cari sebanyak mungkin kampung, tetapi tidak boleh janji setiap kampung ada, mungkin kita cuba tubuhkan di daerah tiga atau empat (Pusat Smart Desa),” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan hari perancangan bandar sedunia peringkat Selangor 2023 di Dewan Jubli Emas, Kampung Endah di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebelum ini EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail memaklumkan pusat Smart Desa berperanan sebagai pusat sehenti untuk kegunaan warga desa pelbagai lapisan umur menggunakan perkhidmatan jalur lebar percuma, pusat internet, kelas tambahan dan pusat komuniti.

Setakat ini terdapat dua Pusat Smart Desa iaitu di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dan Kampung Endah, Kuala Langat.

Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Selangor 2023 diadakan bermula semalam hingga esok di Kampung Endah di sini, dengan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk hari rendah karbon, festival makanan jawa dan perasmian Smart Desa.

Objektifnya antara lain bagi meraikan dan menghargai perancang bandar dalam pembangunan khususnya ke arah mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti selain menyebarluas idea perancangan bandar dan desa bagi memperkasa komuniti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah tempat pertama pertandingan masakan jawa pada majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran selepas merasmikan majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Selangor di Kampung Endah, Kuala Langat pada 18 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :