Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bergambar bersama pemenang pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Asli Battle of The Bands diperluas tahun depan, cungkil bakat nyanyian Orang Asli

SHAH ALAM, 19 NOV: Pertandingan Asli Battle of The Bands (ABOTB) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor bakal diperluas ke peringkat kebangsaan menerusi kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata acara yang dijadual berlangsung tahun depan bertujuan mencungkil bakat nyanyian terpendam Orang Asli seterusnya mengetengahkan mereka ke dalam industri seni.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap ketika pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Tahun depan kita buat peringkat kebangsaan melibatkan Orang Asli di semua negeri. Kita anjurkan pertandingan dan buat saringan hingga ke konsert akhir dengan kerjasama RTM.

“Kita harap kumpulan dari negeri ini akan menjadi antara yang hebat untuk diketengahkan kerana kita bermula setahun awal (tahun ini),” katanya berucap pada pertandingan akhir ABOTB malam tadi.

Borhan berkata penganjuran ABOTB buat pertama kali di negeri ini melibatkan sesi jelajah saringan di 74 perkampungan Orang Asli.

“Keseluruhannya 25 kumpulan muzik dengan anggaran 125 Orang Asli bersaingan antara satu sama lain. Setiap saringan mendapat sambutan menggalakkan dari komuniti,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura kepada Kumpulan Mayang yang menjuarai pertandingan akhir Asli Battle Of The Bands (ABOTB) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kumpulan Mayang dinobatkan juara selepas menewaskan tujuh kumpulan lain membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500, sijil penghargaan selain berpeluang merakamkan lagu baru.

Tempat kedua dimenangi Mask Band yang mendapat wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan manakala Zangkud ditempat ketiga menerima RM1,000 dan sijil penghargaan.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

 


Pengarang :