Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Tentera Israel ceroboh Hospital Al-Shifa, usir pesakit termasuk yang cedera parah

GAZA, 19 NOV: Tentera penceroboh Israel memaksa kira-kira 500 pesakit di Hospital Al-Shifa di barat Bandaraya Gaza, termasuk yang cedera parah supaya mengosongkan hospital itu, menurut pejabat media kerajaan di Semenanjung Gaza pada Sabtu.

Mereka hanya diberi masa sejam untuk mengosongkan Kompleks Perubatan Al-Shifa, lapor Agensi Anadolu.

Pejabat media Gaza mempertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas Israel terhadap keselamatan dan nyawa semua mereka yang berada di Al-Shifa, termasuk yang cedera, bayi pramatang dan kakitangan perubatan.

“Institusi dan organisasi antarabangsa juga bertanggungjawab atas kecuaian dan tindak balas susulan dan penyelarasan yang lemah dalam melindungi hospital dan pusat kesihatan yang sepatutnya mempunyai imuniti antarabangsa dan undang-undang,” menurut pejabat media itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa bahan api mesti disediakan kepada semua hospital di Semenanjung Gaza bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan, perubatan dan kemanusiaan disediakan kepada puluhan ribu yang cedera dan sakit.

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :