EXCO Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri laksana kajian, ambil kira perubahan iklim pastikan pembangunan berdaya tahan

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri melaksanakan kajian terperinci bagi mengenal pasti tindakan bersepadu yang perlu diambil bagi mencapai pembangunan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

EXCO alam sekitar berkata Kajian Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor dijalankan oleh Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara selama tujuh bulan sejak 1 Disember 2022 hingga 30 Jun lalu.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, kajian berkenaan mengambil kira perubahan iklim dari pelbagai aspek antaranya membabitkan adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana.

“Fasa pertama, negeri telah mendapatkan hasil kajian bagi kawasan perintis iaitu Kuala Selangor bagi kawasan persisiran pantai yang berisiko berhadapan dengan kenaikan paras air laut, Shah Alam bagi kawasan berisiko banjir kilat dan Ampang Jaya bagi kawasan berisiko tanah runtuh.

“Kajian pada fasa kedua terus dijalankan di sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT). Pelan ini juga akan turut menyediakan garis panduan pelaksanaan pembangunan di peringkat PBT dengan mengambil kira elemen perubahan iklim,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin yang ingin mengetahui status terkini dan tahap pelaksanaan Pelan Tindakan dan Dasar Perubahan Iklim Selangor 2030 dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Jamaliah memaklumkan hasil dapatan kajian perintis di Shah Alam, Kuala Selangor dan Ampang Jaya akan dijadikan asas dalam merangka pelan tindakan dan dasar berkenaan untuk sembilan PBT yang lain.

“Hasil dapatan kajian ini, rangka kerja dan pelan tindakan sedang disediakan oleh Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau serta pasukan perunding yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri.

“Dasar ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024,” katanya.


Pengarang :