BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tapisan psikologi kaedah rekrut tentera Israel

Oleh Dr Zamir Mohyedin

Sekali seumur hidup mesti kita pernah mendapat borang tinjauan yang meminta kita menjawab siri soalan berdasarkan skala 1 hingga 5.

Menariknya, kaedah ini pernah digunakan suatu ketika dahulu di Israel di dalam pemilihan tentera. Selepas penubuhan Israel pada 1948, tentera Israel tidak begitu cekap dan tidak terurus.

Jika datangnya pertempuran, mereka berkecenderungan lari daripada pertempuran itu. Kadangkala ketua unit pun tidak bercakap bahasa yang sama dengan kebanyakan orang bawahannya.

Kita kena tahu pada masa itu orang Yahudi bukanlah bangsa yang berkongsi budaya dan bahasa yang sama. Seramai 730,000 orang Yahudi dari pelbagai negara masuk ke Israel pada 1953.

Semuanya mempunyai latar belakang bahasa dan budaya yang berbeza. Israel menghadapi masalah yang sangat serius – bagaimana mahu jadikan populasi majmuk ini menjadi kuasa tentera yang bersepadu?

Masalah itu diselesaikan anggota tentera Israel berusia 21 tahun bernama Daniel Kahneman.

Kahneman nama besar dalam bidang psikologi. Lulusan doktor falsafah pada 1961 di Amerika Syarikat itu bersama rakannya Amos Tversky merumuskan pelbagai teori tentang penilaian dan bias manusia.

Hasil kerja mereka yang terkumpul telah menggagaskan idea besar dalam ekonomi iaitu teori prospek –penilaian terhadap untung dan rugi itu berbeza.

Kelakuan manusia dalam teori prospek ini membolehkan ia diguna pakai dalam pelbagai cabang seperti politik, insurans, pelaburan,ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Daripada teori inilah Kahneman merangkul Hadiah Nobel Ekonomi pada 2002. Gagasan ini mempengaruhi Richard Thaler yang pernah berkolaborasi dengan Kahneman bagi membentuk gagasan lain berkaitan dengan kelakuan manusia dalam ekonomi seperti kesan endowmen.

Richard Thaler turut memperoleh Hadiah Nobel Ekonomi pada 2017 kerana sumbangannya yang menghubungkan ekonomi dan psikologi, terutamanya dalam tindakan membuat keputusan dan penilaian manusia.

Justeru, bagaimana Kahneman menyelesaikan masalah tentera Israel?

Pada ketika itu, tiada sistem piawai untuk menentukan secara objektif siapa yang layak dan cekap menjadi tentera.

Tidak sangka dipertanggungjawab mengupaya tentera rejim Israel, Kahneman hanya mengikut intuisinya sendiri berdasarkan data sedia ada seperti fizikal tubuh badan dan ujian latihan yang dibuat.

Kerja Kahneman nampak mudah, tetapi masalah timbul apabila apa yang dinilai olehnya tidak selari dengan kecekapan tentera itu apabila berhadapan dengan kejadian sebenar. Dengan kata lain, askar yang dipilih tidak seperti yang dimahukan.

Kesan Halo

Bagi mengelakkan perkara ini, sistem piawai yang lebih objektif kena ada. Jadi, Kahneman mereka bentuk satu ujian personaliti untuk merekrut askar dan susun rekrut berdasarkan personaliti.

Kahneman meletakkan beberapa ciri keupayaan bertempur seperti rasa bertanggungjawab, ketepatan masa, tahap bersosial, maskuliniti dan keupayaan untuk buat keputusan sendiri.

Dengan adanya sistem ini, tidak perlu lagi mana-mana penemuduga merekrut askar berdasarkan ciri rawak, tetapi ciri yang digariskan oleh Kahneman.

Namun, masalah lain pula timbul. Mungkin tiada masalah untuk sukat fizikal seseorang berdasarkan tinggi dan beratnya, tetapi bagaimana untuk menyukat rasa bertanggungjawab? Bagaimana untuk menyukat tahap ketepatan masa seseorang?

Masalah lain pula, walaupun ujian personaliti ada objektifnya, penilaian manusia tidak objektif dan mudah dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengalaman, prejudis, keutamaan, ideologi, aspirasi dan sebagainya – dipanggil sebagai kesan Halo.

Misalnya, kadangkala kita menilai seseorang itu cerdik kerana dia kelihatan cantik dan kemas. Sedangkan, kecerdikan seseorang bukan diukur melalui paras rupa dan kekemasan. Kita mungkin sedar, tetapi bias ini sukar untuk dielakkan. Penilaian manusia sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar.

Walaupun ujian personaliti itu mempunyai sifat objektifnya (walaupun tidak sepenuhnya), penilai manusia tidak objektif. Lebih-lebih lagi melibatkan perkara yang tidak boleh disukat.

Kahneman mengambil langkah untuk membuang penilaian manusia dalam proses merekrut askar dan bergantung pada statistik.

Penilaian manusia tidak boleh dipercayai. Kahneman teringat pada karya Paul Meehl yang berjudul Clinical versus Statistical Prediction yang menunjukkan statistik meramalkan apa yang terjadi pada pesakit neurotik lebih baik berbanding kaedah psikoanalisis.

Pemarkahan Kahneman

Maka, Kahneman mereka bentuk senarai soalan yang sangat spesifik untuk membendung kesan Halo. Soalan itu tidak akan bertanya apa yang individu fikir mengenai dirinya, tetapi apakah kelakuan dan tindakannya apabila berhadapan dengan situasi tertentu.

Setiap soalan ini dinilai berdasarkan skala 1 hingga 5. Skala 1 misalnya merujuk “tidak pernah berkelakuan seperti ini” dan skala 5 merujuk “kerap berkelakuan seperti ini.”

Jika penemuduga menilai tahap sosial individu, penemuduga boleh bagi 5 untuk individu yang ada hubungan kuat dengan ramai orang dan bagi 1 untuk individu yang kerap mengasingkan diri. Tentera Israel dibentuk berdasarkan algoritma Kahneman.

Sistem baharu ini lebih objektif dan berkesan tetapi pada peringkat awal ramai penemuduga yang tidak bersetuju. Kahneman teringat ada orang cakap sistem ini membuatkan para penemuduga ini seperti robot.

Penemuduga rasa mereka berupaya menilai karakter seseorang, tetapi Kahneman tidak percayakan penilaian manusia yang penuh dengan bias.

Ujian yang diasaskan oleh Kahneman dapat menyelesaikan permasalahan pembentukan tentera Israel. Ia dapat meramalkan kebarangkalian sama ada individu itu berjaya menjalankan tugasnya ataupun tidak.

Ia dapat memberikan ramalan siapa yang berjaya sebagai pegawai biasa, pegawai elit ataupun tidak berjaya langsung. Ujian pemilihan tentera Israel ini dikenali sebagai Pemarkahan Kahneman (Kahneman Score) yang masih lagi digunapakai sehingga ke hari ini.

Usaha Kahneman sebenarnya telah memberikan dampak yang besar kepada Israel dalam usaha negara itu untuk bermandiri.


Pengarang :