Peniaga mengalihkan barangan yang musnah dalam kebakaran di Uptown Damansara jam 8 malam 20 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Gimnasium antara premis terbakar di Uptown Kota Damansara

PETALING JAYA, 21 NOV: Pengusaha gimnasium di Uptown Kota Damansara, yang terjejas akibat kebakaran malam tadi berkata jika kejadian itu berlaku pada hujung minggu, ia pasti lebih buruk lagi.

Mazalan Abdul Manan, 53, berkata pada Jumaat hingga Ahad setiap minggu, kawasan itu sesak dengan pengunjung yang membeli pelbagai barangan di bazar berkenaan.

Beliau yang mengusahakan gimnasium sejak 2017 berkata jalan di sekeliling bazar itu selalunya dipenuhi kenderaan yang diletakkan di tepi jalan dan kemungkinan besar menyukarkan jentera bomba untuk tiba di lokasi, bagi memadamkan kebakaran.

Menceritakan kejadian kebakaran itu, Mazalan berkata beliau melihat asap tebal keluar dari kawasan bazar berkenaan pada 8.15 malam dan api merebak dengan pantas ke gerai berhampiran dan bahagian belakang gimnasiumnya.

“Melihat asap itu saya masuk ke kawasan bazar dan lihat asap datang dari sebuah gerai yang terletak berhampiran dengan gimnasium saya.

“Ketika itu terdapat kira-kira 15 orang ahli sedang bersenam di dalam gimnasium dan ketika api mula marak, mereka turut sama membantu saya mengeluarkan alat senaman lain, mereka turut membantu peniaga berhampiran menyelamatkan barangan niaga mereka dari terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Mazalan berkata kebakaran itu mengakibatkan empat mesin senaman serta beberapa kelengkapan lain yang terletak di bahagian belakang, terbakar.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan berkata kebakaran berkenaan melibatkan kawasan seluas 100 kaki x 20 kaki dan api merebak dengan pantas berikutan kawasan itu penuh dengan bahan mudah terbakar.

“Ketika pasukan penyelamat sampai api sudah marak dan kita menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata siasatan punca kejadian akan dijalankan hari ini dan dijangka selesai esok, manakala kawasan kebakaran berkenaan ditutup sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata 30 anggota dan tiga jentera dan sebuah lori tangki air terlibat dalam operasi pemadaman.

“Kami terima panggilan kecemasan pada 8.34 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian, api berjaya dipadam sepenuhnya pada 10 malam dan tiada mangsa terlibat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :