Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor perlu rizab simpanan tiga bulan pastikan kelancaran pentadbiran, kecemasan

SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor memerlukan sekurang-kurangnya simpanan tiga bulan pendapatan bagi memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Negeri khususnya ketika berdepan situasi kecemasan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tabungan itu perlu dibuat setiap tahun bagi memastikan kelancaran pembayaran gaji kakitangan awam dan pelaksanaan program.

“Kita masih perlukan rizab yang mencukupi dan kita perlukan simpanan tiga bulan sekurang-kurangnya setiap tahun bagi memastikan kelestarian pembayaran gaji dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Wakil rakyat Sungai Tua itu turut menyelar penggunaan rizab kewangan secara mendadak yang dibuat pada 2018 walaupun Selangor dan negara tidak berdepan bencana atau pandemik.

Menurutnya, jika penggunaan rizab dilakukan secara berterusan semua khazanah negeri dijangka lenyap pada 2023 dan Selangor tidak mampu membayar gaji atau melaksana sebarang program kebajikan.

“Pada 2015, rizab Kerajaan Negeri berjumlah RM3.258 bilion. Pada 2018, iaitu selepas 3 tahun, rizab Kerajaan Negeri menjunam sebanyak RM1.123 bilion kepada RM2.135 bilion, hanya dalam tempoh tiga tahun.

“Dana dan simpanan Kerajaan Negeri adalah khazanah bagi generasi akan datang dan perlu disediakan pada tempoh mendesak, bukan dengan sikap populis semata-mata tanpa perancangan masa depan,” katanya.

Tahun lalu, Amirudin mengumumkan Selangor merekodkan rizab simpanan tertinggi berjumlah lebih RM3.4 bilion, tertinggi sejak 2012.


Pengarang :