Oleh NAS NORZIELA NASBAH
KUALA LUMPUR, 21 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Kejohanan Golf Amal Raja Muda Selangor (RMS) di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini hari ini.
Majlis penutup kejohanan disertai 124 pemain daripada pelbagai syarikat, agensi serta Kerajaan Negeri bertujuan mengutip dana bagi TEAM Programme yang membantu pembangunan belia termasuk kerjaya, pendidikan dan latihan.
“Tanggungjawab kita terhadap golongan minoriti bukan hanya berkisar kepada kebajikan tetapi juga keadilan dan belas ihsan.
“Sebagai ahli masyarakat, kita sering mengukur kejayaan berdasarkan kemampuan untuk maju, berkembang dan berinovasi,” titah Baginda yang pengasas Selangor Youth Community (SAY).
Kejohanan tersebut dianjur bersama beberapa penaja antaranya Titijaya Land Berhad dan Nestle Berhad.
Tengku Amir juga bertitah agar pemain menyantuni rakyat yang kurang bernasib baik dengan menyifatkan kebaikan itu sebagai kehebatan sebenar golongan tersebut.
“Bagaimanapun, jangan kita lupa bahasa ukuran sebenar kehebatan kita adalah bagaimana kita melayani mereka yang berdepan dengan kesengsaraan, kesusahan serta mereka yang tidak mempunyai peluang dan kelebihan seperti mana dinikmati kebanyakan daripada kita,” titah Baginda lagi.