DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika berkenan menziarahi makam Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Makam Diraja Klang pada 21 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan berkenan ziarah makam ayahanda, hadiri majlis tahlil

SHAH ALAM, 22 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menziarahi makam ayahanda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Makam Diraja Klang semalam.

Baginda yang diiringi Tengku Laksamana Tengku Sulaiman Shah Alhaj, Tengku Panglima Raja Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Puan Panglima Perlis Tengku Puteri Nor Zehan kemudian berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.

“Tanggal 21 November 2023 genap 22 tahun kemangkatan Sultan Selangor ke-8 Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

“Almarhum mangkat pada usia 75 tahun pada pukul 11.57 pagi di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang berikutan masalah jantung,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 21 November 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Sultan Sharafuddin dimasyhur sebagai Sultan Selangor ke-9 pada 22 November 2001 sejurus selesai istiadat penghormatan terakhir untuk jenazah almarhum di Balairung Seri Istana Negara.

Upacara pemasyhuran berlangsung ketika jenazah almarhum masih berada di atas pentas diraja di samping Sultan Sharafuddin yang telah menjadi Sultan Selangor yang baharu.


Pengarang :