EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 22 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pergiat usaha cegah denggi, kompaun premis biak Aedes

SHAH ALAM, 22 NOV: Aktiviti pencegahan dan kawalan nyamuk Aedes khususnya di kawasan perumahan terus giat dilaksana bagi memastikan kes demam denggi di negeri ini terkawal.

EXCO kesihatan awam mendedahkan antara faktor utama penyumbang kes ialah tahap kebersihan dan keadaan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah dan tanah kosong.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, sebanyak 50,730 kes dilaporkan pada minggu epid 45 yang berakhir 11 November berbanding 31,078 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 63.2 peratus.

“Susulan itu, Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor dilaksana bermula 20 Februari hingga 23 Mac lalu di Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat yang mencatatkan jumlah kes tinggi.

“Selain itu, kita juga mempergiat penggunaan bahan penghalau (repellent) dan semburan aerosol dalam kalangan komuniti serta penggunaan Mosquito Home di lokaliti wabak,” katanya.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan awal jika mengalami tanda-tanda bahaya demam denggi.

Dalam pada itu, Jamaliah menegaskan individu atau pemilik premis yang membiak nyamuk Aedes boleh dikenakan kompaun melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Kompaun atau arahan penutupan premis akan diambil, jika terdapat kegagalan mematuhi Notis Seksyen 8. Jika tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan dilaksanakan,” katanya lagi.


Pengarang :