Atlet renang Selangor beraksi sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Atlet lega bakal terima caruman KWSP, Perkeso mulai Januari 2024

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Atlet di bawah Program Podium menarik nafas lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan sedang meneliti pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula Januari tahun depan.

Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata keputusan itu merupakan langkah positif setelah sekian lama atlet membuat rayuan supaya MSN melaksanakan caruman berkenaan kepada atlet negara.

“Kami faham untuk laksanakan perkara ini bukan mudah, perlukan masa yang panjang. Alhamdulillah ia terlaksana juga. Ada atlet yang beri komitmen sepenuh masa sebagai atlet, ada tiada kerja lain, ada yang sudah jadi atlet lebih 10 tahun. Jika memang tiada caruman agak sukar untuk mereka.

“Sebelum ini, kita ambil inisiatif buat caruman sendiri, jadi bila ada caruman memang sangat bagus. Harap selepas pembaharuan ini, ia mampu beri keyakinan kepada atlet muda yang nak sertai pasukan kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Benama hari ini.

Badang negara Mohamad Aniq Kasdan yang bersetuju dengan pendapat Muhammad Shah Firdaus itu berkata, caruman KWSP dan Perkeso merupakan pekara penting buat atlet kebangsaan sebagai bekalan mereka meneruskan kelangsungan hidup pada hari tua kelak.

“Sebelum ada caruman pasti sukar untuk para atlet buat caruman sendiri, bukan setakat untuk masa tua tapi juga penting sekiranya alet mengalami kemalangan,” katanya yang berharap caruman berkenaan turut dierluas kepada atlet di bawah Program Pelapis.

Sementara itu, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg menerusi catatan di akaun peribadi X menyuarakan kelegaan kerana MSN akhirnya melaksanakan caruman terbabit setelah sekian lama dimohon barisan atlet negara.

“Selepas bertahun-tahun, akhirnya Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dapat melakukannya untuk atlet-atlet di bawah MSN, terima kasih banyak kerana menjaga kebajikan atlet,” katanya.

Bagi jaguh pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan pula, beliau berharap caruman KWSP dan Perkeso ini dapat diperluaskan lagi kepada semua atlet lain dan tidak hanya tertumpu kepada atlet di bawah program khas sahaja.

“Mereka perlu adil kepada semua, tidak kisah untuk (atlet) Program Podium, Pelapis, atau yang baru masuk ke program kerana bagi saya, semua (atlet) perlu dapat benda itu (caruman) sebab bukan senang untuk layakkan diri dalam program,” katanya.

Semalam, Hannah mengumumkan caruman yang akan dilaksanakan itu diputuskan oleh Lembaga Pengurusan MSN baru-baru ini selepas kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan penekanan kepada kesejahteraan atlet diluluskan.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah berkata caruman itu merupakan pengubah keadaan yang dilaksanakan kerajaan kerana sebelum ini tiada sebarang program membolehkan atlet negara mendapat KWSP dan Perkeso.

-BERNAMA


Pengarang :