EXCO Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Negeri laksana dua polisi tingkat kualiti air, tangani pencemaran sungai

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menggerakkan inisiatif Polluter-Pays Principle (PPP) dan polisi sifar lepas bahan buangan (zero discharge policy) tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu adalah langkah jangka panjang terhadap isu pencemaran dan kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis.

“Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar.

“Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya sekali gus mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi.

“Ia juga bagi menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin berhubung pencemaran sungai di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Jamaliah menjelaskan pemantauan kualiti sungai turut dilaksana menggunakan inisiatif dron berteknologi tinggi dengan kerjasama syarikat dron terkenal, Aerodyne Group.

“Pemantauan dilaksanakan setiap tiga bulan di 31 kawasan berisiko tinggi di seluruh sungai Selangor kemudian Aerodyne akan mengeluarkan laporan berhubung kualiti sungai berkenaan,” katanya.


Pengarang :