SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menjayakan projek menaik taraf dan baik pulih jalan luar bandar.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata kerjasama itu bagi menampung kos projek memandangkan peruntukan sedia ada sebanyak RM2 juta daripada negeri tidak mencukupi.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan KKDW untuk turut mengguna pakai peruntukan daripada kementerian bagi membiayai projek naik taraf dan baiki jalan luar bandar ini,” katanya.
Bercakap dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini, Rizam berharap kerjasama bersama berkenaan dapat menampung kekangan peruntukan sekali gus membantu negeri menaik taraf lebih banyak jalan luar bandar.