AGENDAJENAYAH

Op Tapis Khas: Polis tangkap lebih 4,000 orang, rampas 42kg dadah

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 4,086 individu di seluruh negara dalam Op Tapis Khas pada Isnin hingga Rabu kerana disyaki terbabit pelbagai kesalahan dadah, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, semalam.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata tangkapan tersebut dibuat menerusi 4,564 pemeriksaan yang dijalankan di tanah rancangan FELDA/FELCRA, Projek Perumahan Rakyat, sekatan jalan raya terpilih, jeti nelayan/jeti haram, pasar borong dan taman rekreasi.

Katanya, kesemua individu berkenaan berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun termasuk pelajar sekolah dan penjawat awam.

“Kesemua yang ditahan adalah 1,928 penagih, 1,871 orang terbabit lain-lain kesalahan dadah, 193 orang yang dikehendaki dan 94 tokan dadah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, dalam operasi itu polis merampas 42 kilogram dan 702 liter pelbagai jenis dadah yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM708,925.

“JSJN juga telah berjaya menyita pelbagai aset di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM 336,894 di antaranya wang tunai berjumlah RM25,019, kenderaan bernilai RM128,400, barang kemas bernilai RM8,975, jam tangan mewah bernilai RM40,400,” katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan mereka dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222.

– BERNAMA


Pengarang :