Norsafinas Naseri, 22, menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan Media Selangor di Seksyen 9, Shah Alam pada 7 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pelan tindakan negeri pintar diteruskan selepas 2025

SHAH ALAM, 24 NOV: Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025) diteruskan susulan inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri itu berjaya menyelesaikan masalah rakyat, kata EXCO pembudayaan inovasi.

Lebih membanggakan, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Selangor juga berjaya menjadi pencipta trend (trendsetter) dalam pembangunan negeri pintar di Malaysia dan rantau Asia menerusi pelan berkenaan.

“Mengenai inisiatif ini, ya ia akan diteruskan selepas 2025 kerana kita sudah berjaya menyelesaikan beberapa masalah rakyat dan melaluinya menjadi ‘ thought leader’ dan ‘trendsetter’ dalam pembangunan smart city dan state.

“Namun begitu, program ini harus dilihat semula berdasarkan beberapa inisiatif digital baharu yang berada di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Ini mengambil kira inisiatif yang dirancang dan sedang berjalan peringkat persekutuan. Kita juga mahu selaraskan pembentukan Identiti Digital Nasional yang dilaksana di peringkat persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul bajet peruntukan pembangunan 2024 di Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi yang juga EXCO hal ehwal agama Islam menjelaskan beberapa masjid di kawasan Sementa dan Semenyih kini dalam proses pembinaan dan bakal siap tahun depan.

“Contohnya pembinaan Masjid Cina Muslim di Klang, projek dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya dan setakat 8 November lalu ia mencapai 81 peratus dan dijangka siap sepenuh suku pertama tahun depan.

“Manakala di Semenyih pula, berhubung pembinaan Sekolah Rendah Agama Kampung Pasir Ulu Semenyih dan pembinaan masjid di Pekan Semenyih serta Beranang, semua ini akan dimasukkan dalam perancangan baik pulih Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada tahun depan yang akan diberi keutamaan,” katanya.

Program Smart Selangor diperkenal pada 2016 dan dikemas kini pada 2020 sebagai Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025).

Terdapat 60 inisiatif SSAP 2025 yang telah dikategorikan kepada empat domain utama iaitu Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar.


Pengarang :