SHAH ALAM, 24 NOV: Talian SELamat menerima 18 panggilan melibatkan kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga September lalu, menurut Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata talian khas yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 turut menerima enam panggilan tidak melibatkan kes berkenaan.
“Saya telah umumkan inisiatif ini pada Jun 2021 yang mana talian tersebut mula beroperasi 1 November 2021 selama 24 jam menerusi 03-6419 5027 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS).
“Bilangan tenaga kerja Talian SELamat dilancar pada tempoh kawalan pergerakan adalah 12 orang termasuk seorang eksekutif sokongan krisis. Namun, bermula Jun lalu ia dikendali sepenuhnya eksekutif sokongan dengan jumlah peruntukan RM48,961.45,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung Talian SELamat pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/01/PSX_20211122_140345-500x333.jpg)
di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Amirudin turut menjelaskan antara usaha Kerajaan Negeri mempromosi talian berkenaan adalah bekerjasama dengan Ibu pejabat Polis (IPK) Selangor berhubung garis panduan pengendalian kes keganasan rumah tangga.
“Antara usaha dilakukan Kerajaan Negeri melalui WBS ialah promosi talian melalui pengiklanan dan temu bual di radio dan media serta kerjasama dengan IPK seperti latihan bagi menyampaikan garis panduan pengendalian kes keganasan rumah tangga,” katanya.