Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (barisan kedua tengah) bergambar pada Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 November 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Angkat agama, umat, tekad perjuang nasib rakyat Palestin

Malaysia memang tegas memperjuangkan nasib Palestin. Pada 1978 dan 1982, negara mengeluarkan setem “Untuk Kebebasan Palestin” sebagai tanda sokongan kepada perjuangan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lagi nasib rakyat Palestin di depan pemimpin besar dunia ketika sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di California, Amerika Syarikat (AS) pada 17 November.

“Semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec yang dipengerusikan oleh Presiden (AS) Joe Biden pada Jumaat lalu, saya tegaskan betapa penting untuk semua negara berpadu, dan dalam satu suara, pada saat ini bagi mendesak gencatan senjata di Semenanjung Gaza supaya pembantaian ke atas warga awam termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi oleh rejim ganas Israel ditamatkan.

“Tegakkan keadilan, keamanan dan jamin hak asasi manusia sesegera mungkin!” tulis beliau, yang juga menteri kewangan, di Facebook pada 19 November.

Selain pendirian tegas Malaysia, hubungan Anwar dengan perjuangan Palestin bermula lebih awal lagi, ketika beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sepanjang 1970-an lagi.

Malah, menurut ahli akademik terkenal Profesor James Chin, ketika berada di luar kerajaan sejak 1998, Anwar “sentiasa teguh mendukung perjuangan Palestin dan beliau bertemu dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin.”

Serangan udara dan darat tentera Israel terhadap Gaza, setakat 22 November, mengorbankan sekurang-kurang 14,300 orang. Sebahagian besar mangsa serangan bom itu wanita dan kanak-kanak.

Menyedari konflik semakin memburuk sejak 7 Oktober, selaku perdana menteri, Anwar tidak duduk diam. Sebaliknya secara aktif, beliau melobi pemimpin pelbagai negara dan badan antarabangsa supaya mendesak gencatan senjata dicapai secepat mungkin.

Tekanan Amerika

Sebagai pemimpin Islam berpengaruh, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia Islam ketika Sidang Kemuncak Pertama Asean–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi pada 19 dan 20 Oktober, dua minggu selepas konflik meletus.

Anwar turut bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di Istana Al-Yamamah pada 21 Oktober.

Di celah-celah kepadatan jadual, beliau yang juga menteri kewangan sempat bertemu Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa sehari sebelum itu.

Pada 22 Oktober, Anwar bertemu sahabatnya Presiden Turkiye Recep Tayyib Erdogan di Istanbul sebelum bertemu Presiden Mesir Abdul Fattah Al-Sisi sehari kemudian dalam usaha menyelesaikan konflik di Palestin.

Sehari kemudian, beliau menyertai perhimpunan besar di Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang dihadiri belasan ribu orang. Di pentas ini beliau dengan tegas melaungkan “Palestin merdeka!” beberapa kali.

Malaysia, bawah kepemimpinan Anwar, bertegas menolak tekanan Amerika Syarikat dalam isu hubungan Malaysia dengan Harakatul Muqawamatul Islamiah (Hamas).

Hujung Oktober lalu, di Parlimen, Anwar mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan Amerika Syarikat kerana enggan menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

“Saya sudah menjawab dalam majlis (solidariti Palestin) di stadium baru-baru ini, saya tegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian bebas kita dengan pertimbangan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan itu (salah) dari segi undang-undang dan kaedah antarabangsa kerana perkara ini sudah berlarutan berdekad-dekad sejak 1948,” katanya.

Kitab Hadis 40

Seminggu kemudian beliau menjelaskan pendirian negara menolak sekatan yang dibuat bawah Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas di kongres Amerika Syarikat.

“Pertamanya, kita tidak bersetuju dengan cara yang dibuat Amerika Syarikat dan keduanya, ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita.

“Semalam (6 November) saya menghubungi beberapa sahabat dan negara Islam yang memberikan pendirian sama… sebab itu hubungan dengan Hamas kita teruskan dulu dan sekarang serta tidak menghukum mereka sebagai pengganas,” katanya di Dewan Rakyat pada 7 November.

Selain perjuangan Palestin, Anwar sentiasa meningkatkan usaha memartabatkan Islam sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keilmuan.

Pada Mei, beliau menyaran pengajaran kitab terkenal Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

Ia diperkenal tahun depan. Program rintis itu melibatkan 61 sekolah menengah kebangsaan agama dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan seluruh negara.

Pada Julai, beliau melancarkan buku terjemahan Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam karya sahabat karibnya Dr Taha Jabir al-Alwani di Putrajaya.

Buku ini yang pernah diterbitkan kira-kira 30 tahun lalu menjelaskan cara berbeza pendapat agar umat Islam hidup harmoni.

Tidak cukup dengan itu, susulan pembakaran al-Quran di Sweden pada awal tahun ini, beliau mencadang edaran sejuta kitab suci itu bersama terjemahan dalam beberapa bahasa utama dunia.

Demi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perdana menteri menegaskan semula dasar sedia ada urusan surat-menyurat kepada jabatan kerajaan, kecuali daripada agensi luar negara, mestilah menggunakan bahasa ibunda.

“Sesiapa sahaja menulis (surat) selain dalam bahasa kebangsaan, (maka) surat itu akan dipulangkan,” katanya pada Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Sepang pada 25 Oktober lalu.

Dengan iltizam sedemikian, tidaklah benar menuduh Anwar tidak endah isu Palestin atau kurang menitik berat permasalahan agama. Seluruh hidupnya telah dihabiskan untuk mengangkat martabat agama dan umat.


Pengarang :