Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmi dan menyampaikan titah ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 25 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor berkenan kurnia sijil kepada 773 graduan UPM

SERDANG, 25 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47 sidang dua di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Tuanku Canselor UPM berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma kepada 773 graduan pelbagai program pada sesi pertama istiadat.

Baginda juga berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Tan Sri Azman Hashim serta Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, Dato’ Dr Abu Bakar Salleh dan Profesor Emeritus (Anumerta) kepada Allahyarham Dato’ Dr Yaakob Che Man.

Sultan Sharafuddin turut mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Sharifah Norziana Sayed Salleh (Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling) serta Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra) kepada Nor Izwan Hakimi Nor Azmi (Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian).

Baginda juga mengurniakan Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra) kepada Ong Jia Xin (Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul dengan Kepujian) dan Pingat Emas Alumni kepada Tan Pei Qin (Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian).

Pingat lain disampaikan Baginda ialah Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Dr Aniisah Khoirunnisaa’ Pg Kamaluddin (Bacelor Sains Pertanian), Pingat Putra Agribio kepada Muhammad Maleq Isqandar Nor Jalal (Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan kepujian), Pingat Razlan Putra kepada Jonathan Nyepa (Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia).

Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) ceria pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 25 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin turut mengurniakan Anugerah Keusahawanan Shell Tiram Wawasan kepada Hoh Jia Da (Bacelor Kejuruteraan Perisian) dan Anugerah Tun Abdul Razak kepada Nur Fatihah Ahmad (Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling).

Selain itu, Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals kepada Dr Nur Syahirah Wahid (PhD Matematik Gunaan), Pingat Emas Master kepada Islam Md Tariqul (Master Sains Pelancongan), Pingat Emas BasNet Doktor Falsafah kepada Dr Latif Badar (PhD Perakaunan) dan Hadiah Syed Kechik kepada Ahmad Safwan Hazim Aminudin (Bacelor Sains Bioperubatan dengan Kepujian).

Istiadat konvokesyen UPM ke-47 berlangsung enam sesi turut disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada sesi ketiga (27 November), Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Syed Jalaluddin Syed Salim (26 November) dan Prof Emeritus Dato’ Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie (28, 29 dan 30 November).

Seramai 6,051 graduan pelbagai peringkat pengajian diraikan pada istiadat sidang dua membabitkan 520 graduan PhD, Sarjana (1,532), Bacelor (3,988) dan Diploma (11).


Pengarang :